30 January 2007

Latihan Dalam Perkhidmatan

Salah satu pendekatan pembangunan profesional guru yang popular di Malaysia ialah Latihan Dalam perkhidmatan. Sehinggakan timbul kesalahfahaman guru bahawa itulah saja kaedah yang ada dalam pembangunan profesional guru.

Latihan dalaman perkhidmatan guru sering kali dilaksanakan dengan pendekatan satu dimensi, atas-bawah dan peristiwa sekali sahaja seperti kursus dan bengkel. Pendekatan tradisional dalam pembangunan profesional tersebut yang dianggap sebagai suatu pakej pengetahuan yang dapat dipindahkan, untuk diagih-agihkan kepada guru-guru dalam cebisan-cebisan kecil telah dikritik sebagai terpisah-pisah, tidak produktif, tidak efisien, tiada kaitan dengan amalan guru, tidak melibatkan guru dan kekurangan tindak susul.

Sebenarnya latihan dalam perkhidmatan dibina berorientasikan model defisit. Dalam model defisit, program yang dirancang berasaskan andaian bahawa guru-guru serba kekurangan dalam pengetahuan dan kemahiran tertentu. Oleh itu adalah menjadi tanggungjawab pihak penganjur merangka latihan yang mereka anggap dapat mengatasi kekurangan guru-guru berkenaan.

Aliran baru dalam pembangunan profesional guru telah berkembang dan dibina berorientasikan model pertumbuhan. Dalam model pertumbuhan, pihak penganjur berandaian bahawa guru-guru sebenarnya mempunyai potensi tertentu yang perlu digilap dan dikembangkan. Oleh itu pihak penganjur bertanggungjawab mengenal pasti secara langsung daripada guru tentang jenis dan kandungan pembangunan profesional yang guru-guru berkenaan perlukan.

Oleh sebab itulah kaedah pembangunan profesional guru berorientasikan model pertumbuhan lebih pelbagai dan tidak terhad dengan kaedah kursus dan bengkel sahaja. Antara kaedah yang digunakan ialah Pembelajaran Arah-kendiri, Kajian Tindakan, Pemerhatian-Penilaian dan yang lain-lain.

Persoalannya, kenapakah pembangunan guru di Malaysia terhad dengan kursus dan bengkel sahaja?

No comments: